“Tiada Kejutan AJL35, hanya fokus nyanyian”- Ernie Zakrie

FINALIS Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35), Ernie Zakrie akui tiada kejutan yang bakal ditampilkan tahun ini berbanding tahun lalu.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri berkata dia hanya mahu fokus menyanyikan Lagu Gundah dengan caranya tersendiri kerana lagu tersebut sangat dekat dengan hatinya.

“Lagu Gundah sangat dekat dengan hati saya kerana ia melibatkan orang tersayang iaitu arwah datuk dan nenek saya.

“Apa yang saya harapkan peminat dapat menerima seadanya nyanyian saya dengan terbuka. 

“Gimik baju pun tiada tahun ini seperti tahun lepas, saya akan menghayati lagu ini dengan sepenuh hati,” jelasnya kepada Portal The News. 

Dalam pada itu, Ernie juga tidak meletakkan harapan untuk meraih Trofi Vokal Terbaik kerana ia terserah kepada juri untuk buat penilaian.

“Saya akui tahun lalu, ramai peminat seperti hampa kerana saya tidak meraih trofi tersebut namun ia keputusan juri dan mereka yang tentukan.

 “Apa apa pun, saya hanya nak ‘enjoy’ pada malam final itu, semoga semuanya berjalan dengan lancar.

Sebanyak 12 finalis AJL35 akan berentap Ahad ini dengan pelbagai genre lagu.