Nabila Razali Harap Peluang Kedua

SELEPAS berjaya dengan lagu Pematah Hati dan Vroom Vroom, penyanyi Nabila Razali muncul dengan single kelimanya berjudul Peluang Kedua.

Lagu ciptaan sepenuhnya Hael Husaini ini memberi kelainan apabila menyerlahkan sisi lain Nabila menerusi genre balada.

Menariknya lagu itu sudah mendapat lebih 1000 ‘cover’ di semua laman sosial sebelum ia dilancarkan secara rasmi Khamis ini.

“Alhamdulillah, walaupun banyak dugaan kami berjaya melalui proses pembikinan lagu ini dengan baik.

“Bagi saya lirik lagu ini sangat mendalam sehingga saya sendiri menangis ketika pertama kali mendengar demo daripada Hael.

“Liriknya juga lebih dekat dengan hati masyarakat terutama yang sedang bercinta mahupun putus cinta,” ujarnya.

Rangkap korus lagu Peluang Kedua tular di laman sosial selepas menjadi salah satu lagu tema untuk drama lakonannya Seindah Tujuh Warna Pelangi.

Sementara itu, Nabila berkata, buat pertama kali lagu nyanyiannya ini akan dilancarkan secara rasmi di laman Youtube Nabila Razali Entertainment.

“Saya juga baru sahaja membuat akaun Youtube sendiri dan akan melancarkan lagu itu secara rasmi di laman muzik tersebut.

“Selain itu, saluran itu akan menjadi ruang untuk saya berkongsi aktiviti seni kepada peminat-peminat” ujarnya.

Dalam pada itu, Nabila berkata, dia berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses pembikinan lagu berkenaan termasuk penggambaran yang terpaksa ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Banyak cabarannya dan saya pasti semuanya ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Selain masalah masa dan kesihatan yang tidak cukup rehat, penggambaran muzik video juga ditangguhkan kerana PKP.

“Sepatutnya penggambaran muzik video berlangsung pada 20 Mac lalu tapi arahan kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac membuatkan muzik video itu tertangguh,” ujarnya.

Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang ingin membetulkan kesilapan dalam hubungan dan meminta untuk diberikan peluang kedua.

Nabila berharap buah tangannya kali ini memberi impak dan dihargai oleh peminat-peminat.

Peluang Kedua akan tersedia di semua pelantar muzik digital dan boleh distrim di Spotify, Joox, KKBOX, YouTube dan Apple Music bermula 24 April ini.

https://youtu.be/rr6yFeDh2Pw