Marhaen beri nafas baharu pada ‘Amalan Ramadan’

PERNAH dipopularkan oleh kumpulan Nadamurni pada sekitar 90-an, lagu Amalan Ramadan terkenal kerana karya ini mendapat sentuhan melodi dan padanan lirik dari Munif Hijjaz dan Mohd Radzi Sulaiman.

Kedatangan Ramadan tahun ini ibarat dinanti, maka pihak Soofi Media dan Soofi Studio cuba memberi nafas baru pada lagu Amalan Ramadan. Idea ini disempurnakan lagi, apabila Marhaen, kumpulan vokal baharu telah diberi tanggungjawab untuk menyanyikan semula lagu tersebut dalam versi acapella.

Untuk pengetahuan, Marhaen merupakan kumpulan anak muda yang sangat berbakat dan menjadikan bidang nyanyian sebagai platform untuk berkarya.

Pihak Soofi berkata, “Lagu ini saya ibaratkan sebagai buku panduan atau manual untuk kita supaya dapat menjalani Ramadan dengan sempurna. Pembikinan lagu berjalan dengan lancar bermula dari proses rakaman sehingga selesai”.

Walaupun pada awal pihaknya bimbang mengenai penerimaan orang dek kerana lagu ini lagu lama dan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Soofi tetap meneruskan niatnya untuk berkongsi sesuatu yang baik sempena Ramadan.

Melalui ‘Amalan Ramadan’, Marhaen berharap agar orang ramai dapat mengambil iktibar daripada mesej pada lagu yang telah diberi nafas baru tersebut.

Untuk rekod, kumpulan ini ditubuhkan sekitar tahun 2017 dan anggota mereka merupakan bekas penuntut di universiti yang sama iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga vokalis kumpulan nasyid Interaksee di kampus.