Big Hit beri kenyataan, jangkaan BTS masuk latihan wajib ketenteraan serentak pada tahun 2022

SEORANG penganalisis kewangan dari Leading Investment and Securities, Yoo Seong Man baru-baru ini membuat ramalan bahawa kumpulan K-Pop terkenal, BTS akan mendaftar latihan wajib ketenteraan pada pertengahan tahun 2022 secara serentak.

Katanya, “saya menjangka bahawa kesemua anggota BTS akan pergi ke latihan ketenteraan bersama-sama sebelum pertengahan tahun 2022. Akan ada banyak persiapan yang akan dilakukan seperti album dan lain-lain sebelum pendaftaran mereka dan perkiraan tempoh BTS tidak aktif dalam industri adalah satu tahun”.

Yoo Seong Man menambah, “BTS berada di level bintang dunia persis Michael Jackson atau The Beatles, jadi walaupun mereka bertugas dalam menjalankan kewajipan latihan ketenteraan. Mereka masih mampu meraih carta hits dan menghasilkan keuntungan sama ada semasa ataupun selepas selesai latihan”.

Disember lalu, Kementerian Pertahanan Nasional Korea Selatan mengumumkan pindaan undang-undang bagi individu-individu yang bekerja di industri budaya dan seni popular memenuhi syarat untuk menunda pendaftaran ketenteraan mereka.

Jika BTS memenuhi syarat untuk undang-undang tersebut, Kim Seokjin atau Jin yang merupakan anggota tertua dalam BTS boleh menunda pendaftaran sehingga tahun 2022.

Kim Seokjin, anggota tertua BTS

Sebelum ini, Jin BTS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya yang kerap dibanjiri soalan tentang hal ini. Katanya, “sebagai seorang lelaki Korea Selatan, latihan ketenteraan adalah hal wajar perlu dilakukan. Jika negara telah memanggil saya untuk melakukan tanggungjawab tersebut, saya akan segera sedia mengambil dan memenuhi amanah tersebut”.

Dalam pada itu, Big Hit Music iaitu agensi BTS telah mengeluarkan kenyataan, “Setakat ini kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tentang hal ini selain apa yang telah dikatakan oleh artis kami. Kami memohon kerjasama anda”

Sementara itu, melihat reaksi peminat BTS, ARMY. Rata-rata berpendapat bahawa mereka lebih senang jika BTS menjalankan latihan wajib ketenteraan bersama-sama daripada perlu menunggu setiap seorang anggota pergi, yang mana ia akan mengambil masa lebih lama untuk mereka comeback atau berkarya semula dalam industri muzik.