I Can See Your Voice Malaysia Jadi Ikutan

Penyanyi sebenar atau penyamar bersuara sumbang?” “Sila perdengarkan suara sebenar anda!”

Debaran menunggu pendedahan identiti sebenar penyanyi misteri dan apakah reaksi artis jemputan dan panel penyiasat di penghujung program

I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) sudah pasti tidak asing lagi buat peminat program hiburan TV nombor satu di Malaysia. 

Diadaptasi daripada program hiburan popular Korea Selatan, I Can See Your Voice Malaysia Musim 3 (ICSVYMY3)

bakal menceriakan hujung minggu anda bermula 16 Februari 2020, setiap hari Ahad dari pukul 9.00 – 10.30 malam di TV3

dan strim dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my . 

Menurut Encik Johan Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad,

“Sejak diperkenalkan, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) telah menerima sambutan yang sangat positif termasuklah dari platform media sosial.

Musim yang lalu mencatatkan rating terkumpul untuk kesemua episod ICSYVMY Musim 2 berjumlah 11.4 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement).

Manakala tontonan di platform digital YouTube TV3 Malaysia dan YouTube TV9 Malaysia pula berjaya meraih jumlah tontonan sebanyak 62.5 juta.”

“Uniknya program ini, kami bukan saja mahukan penyanyi sebenar tetapi kami juga mahukan penyanyi yang bersuara sumbang yang pandai menyamar (penyamar) untuk menguji para selebriti popular yang bertandang ke studio ICSYVMY.

Populariti dan keunikan format ICSYVMY terbukti berjaya menarik minat orang ramai yang enggan melepaskan peluang untuk sama-sama menjayakan program ini.

Oleh itu, kami berharap musim baharu ini akan terus mendapat sambutan positif dan menjadi sebuah program hiburan tontonan ramai di hujung minggu.” Tambah Encik Johan lagi. 

Satu sidang media untuk memperkenalkan barisan hos program, panel penyiasat suara sumbang dan format baharu ICSYVMY Musim 3 telah berlangsung pada 11 February 2020.