Habis Sini: Penghormatan buat Naim Daniel

PENYANYI dan pelakon Naim Daniel mencipta sejarah dengan terhasilnya bekerjasama dengan penyanyi rap Joe Flizzow melalui single Habis Sini.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 24, berkata dia menganggap kerjasama yang terjalin ini sebagai satu penghormatan buatnya.

“Saya berasa amat teruja apabila Joe Flizzow bersetuju untuk menyertai saya untuk kolaborasi ini. Ia satu penghormatan untuk bekerjasama dengannya,” kata Naim Daniel.

Habis Sini merupakan karya yang dieksperimen oleh Naim untuk mendapatkan elemen baharu dari dunia Hip Hop selepas mendapat sambutan yang baik dalam genre balada.

Kemunculan Joe Flizzow juga tidak dirancang dari awal, berikutan lagu ini sendiri sudah lama dihasilkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Proses rakaman Habis Sini dilakukan pada bulan Ramadan 2021 dengan hanya satu sesi sahaja.

Kata Naim, produksi muzik yang dikelola oleh Mas Dewangga dan SonaOne telah memberi satu pengalaman baru, terutama dari SonaOne sendiri kerana ini merupakan kerjasama pertama mereka.

Habis Sini mengisahkan tentang bagaimana dalam kehidupan seharian kita akan bertemu dengan manusia yang leka dengan menyebarkan aib dan kebencian kepada orang lain tanpa mengetahui kebenaran yang sebenarnya.