Denden Gonzalez pukau juri ‘The Voice Bulgaria’

PENYANYI kelahiran Bandung Indonesia, Denden Gonzalez muncul dengan persembahan memukau apabila tampil di pentas antarabangsa menerusi program realiti ‘The Voice Bulgaria’.

Bukan sekadar menarik perhatian juri malah pemilihan lagu yang mencabar berjudul ‘Shes Gone’ sekali gus memberikan nilai tambah terhadapnya.

Peringkat awal permulaan nyanyian, kemahiran vokal yang ditonjolkan Denden Gonzalez benar-benar membuka mata pihak juri.

Kemampuan Denden Gonzalez menyampaikan lagu yang agak tinggi itu membuatkan pihak juri tidak senang duduk untuk menyaksikan sendiri siapakah gerangan penyanyinya.

Persembahan Denden yang memukau juri.


Persembahan yang jelas membuktikan kemampuan vokalnya itu membuatkan barisan juri tidak fikir panjang apabila kesemua mereka menekan butang setuju sebagai tanda untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Nama Denden Gonzalez mungkin dilihat asing di negara ini namun mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa beliau merupakan artis syarikat rakaman tempatan di Malaysia iaitu Datu Entertainment.

Bakat nyanyiannya berjaya mencuri perhatian komposer terkenal tanah air, Rumhadi Rumnan yang juga sebelum ini telah menghasilkan beberapa buah lagu buat artis tempatan.

Antaranya Azzam Sham, Harry Khalifah, Santesh dan tidak ketinggalan menghasilkan single buat penyanyi Daniel Zaini yang juga merupakan penyampai radio Era sehingga mendapat sambutan di YouTube selain putaran lagu yang tinggi di radio.