‘Menangis Diam-Diam’ tiba-tiba jadi siulan, catat lebih 3.1 juta tontonan di Youtube

SEMUA manusia di dunia pasti pernah merasa perasaan cinta. Tidak kiralah cinta monyet, cinta sejati, cinta terpaksa, cinta terpendam mahupun cinta dalam diam. Malah atas dasar cinta ini jugalah manusia menjadi rapuh hingga menangis. Menangis pula ada yang kerana bahagia, menangis berpatah hati sehinggalah “Menangis Diam-Diam”.

Malah perasaan pilu itulah yang memberi inspirasi buat kumpulan terkenal Indonesia iaitu Kasyara Band bagi menghasilkan single ‘Menangis Diam-Diam’. Kasyara Band yang dianggotai Faizal Lubis selaku pemain keyboard bersama Kensen selaku vokalis melancarkan ‘Menangis Diam-Diam’ kira-kira sebulan lalu dan mendapat sambutan luar biasa apabila ditonton lebih 3.1 juta kali di Youtube setakat ini.

“Menangis Diam-Diam merupakan satu karya yang sangat mendalam maksudnya, ia membuai pendengar dengan perasaan sayang dan cinta terhadap pasangan masing-masing. Namun ada ‘plot twist’ tentang rasa cinta itu sehingga timbul kejadian menangis dalam diam.

“Lebih manis apabila single ini mendapat sambutan luar biasa di saluran Youtube Kasyara Band dengan tontonan lebih 3 juta, malah ia menjadi lagu pilihan pengguna aplikasi TikTok di Indonesia. Rata-rata menyatakan ‘Menangis Diam-Diam’ mempunyai konsep bunyian muzik awal tahun 2000. Alhamdulillah ini satu penghargaan yang besar buat kami,” kata Faizal kepada The News.

Majlis pelancaran Menangis Diam-Diam di Jakarta baru-baru ini.

Faizal dan Kensen mula bersatu hati dengan menubuhkan Kasyara Band pada Ogos 2021.

Sebelum ini mereka pernah menjadi bualan ramai apabila tampil dengan lagu Gerimis Mengundang nyanyian asal kumpulan Slam sebagai batu loncatan kerjaya mereka di Malaysia.

Menangis Diam-Diam mendapat lebih 3 juta tontonan di Youtube.

Malah, kekuatan Gerimis Mengundang merupakan satu karya yang turut terkenal di Indonesia satu ketika dahulu turut membuka mata peminat di negara kelahiran mereka itu.

Untuk rekod, Faizal pernah bersama beberapa nama besar industri muzik Indonesia antaranya Rossa, Melly Goeslow dan Radja Band sebelum ini

Lebih manis, dia juga sempat bersama kumpulan Noah menggantikan David satu ketika dahulu.

Klip video ‘Menangis Diam-Diam’ boleh ditonton di pautan https://www.youtube.com/watch?v=4fcWMaYlQ5o&feature=youtu.be

Ia juga tersedia untuk didengari di semua platform penstriman digital.