Runtuhan cerun Batang Kali: Tapak perkhemahan beroperasi secara haram sejak 2020

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mendedahkan tiga tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian runtuhan cerun di Jalan Batang Kali-Goh Tong dikenal pasti beroperasi secara haram sejak 2020.

Ketiga-tiga tapak berkenaan sebaliknya hanya memiliki Kebenaran Merancang untuk aktiviti pertanian organik yang diluluskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 2019, lapor Berita Harian.

Sehubungan itu, katanya, pengusaha tapak berkenaan dikenal pasti melanggar peruntukan di bawah Akta Jalan Saliran dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda maksimum RM50,000.

“Kerajaan akan ambil tindakan tegas (ke atas pengusaha). Kedaulatan undang-undang adalah Rukun Negara kita, tiada siapa yang boleh melangkaui undang-undang.

“Malah, tindakan ini bukan hanya tertakluk kepada pengusaha tapak ini, sebaliknya akan diperluas ke seluruh negara. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengeluarkan kompaun manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membuat pertuduhan di mahkamah.

“(Semua pengusaha tapak perkhemahan tidak berlesen diminta) hentikan operasi masing-masing, segera mohon lesen sebelum tindakan diambil,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam perkembangan lain, Lima lagi mangsa kejadian tanah runtuh yang meninggal dunia, ditemui setakat jam 1 tengah hari tadi.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia ketika ini seramai 16 orang.

Sumber: Berita Harian