“Lentik tak lentik kita tunggulah nanti” – Netizen kritik Bob nyanyi lagu ‘Anta Permana’ lentik.

Kredit-The News Malaysia

Penyanyi gantian lagu Anta Permana, Bob Yusof dikritik netizen terhadap gaya menyampaikan lagu sangat lentik dan lembut pada pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 34, November tahun lalu.

Tambah Bob pula, dia tidak kisah akan kritikan netizen kerana sudah 15 tahun dia berada dalam industri muzik tanah air.

Lantas, The News sempat bertemu ramah Bob untuk kupas lebih lanjut mengenai komen dia terhadap isu ini.

“Lentik tak lentik tunggulah nanti. Saya rasa itu persembahan saya dan cara saya gayakan lagu tersebut. Dan saya kena berada di atas pentas itu menjadi diri saya sendiri.

“Saya tak kata diri saya lembut ke lentik. Mungkin itu semua pandangan dan persepsi setiap orang. Tak kisah lah nak kutuk ke apa.

“Netizen nak cakap, silakan. Saya suka atau tidak, saya kena bersedia, sebab saya dah lalui 15 tahun dalam industri muzik,” katanya kepada The News.

Sementara itu, bercakap mengenai persiapan Bob pada pentas Akhir Muzik Muzik 34, yang akan menggantikan penyanyi asal lagu Anta Permana, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dia turut berkongsi lebih lanjut.

“Sebenarnya terus terang saya cakap, walaupun Anugerah Juara Lagu 34 (AJL) lagi sebulan, persiapannya masih di tahap 20 peratus.

“Saya banyak melalui proses sebab saya menggantikan lagu Anta Permana, jadi keputusan yang saya buat bergantung pada banyak pihak untuk buat itu dan ini. Saya perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak yang betul.

“Jadi tunggu sahajalah macam mana. Bagaimanapun, semua itu masih dalam proses,” jelasnya.

Kemudian, Bob juga turut menjawab persoalan desas-desus mengatakan, pihak pengurusan Tokti masuk campur terhadap persembahan dan juga persiapan Bob akan datang.

“Saya tidak ada rasa rimas pun apabila pihak pengurasan Tokti masuk campur. Sebab saya sendiri pun bertanya dengan mereka dan minta pendapat semua.

“Sebab saya menggalas lagu orang, jadi saya rujuk beberapa pihak apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

“Jadi bila saya tahu apa yang mereka nak dan apa yang perlu saya buat, barulah saya boleh gabungkan idea semua sekali,” katanya.

Bagaimanapun, Bob turut berkata bahawa dia tidak akan menghadkan kreativiti semasa menyampaikan lagu Anta Permana pada pentas AJL 34 nnti.

“Saya tidak akan menghadkan kreativiti, sebab saya percaya pihak terbabit sudah memberikan kebebasan untuk saya mengolah ataupun melakukan apa sahaja dengan lagu ini cuma saya masih berpandukan garis panduan yang diberikan.

“Maknanya saya tetap mengekalkan rentak Pop dan Kontemporari. Mungkin saya akan ada penambahan sikit-sikit sahaja. Dan idea semua telah dipersetujui serta Komposer lagu, Hael Husaini serahkan sepenuhnya pada saya,” katanya.