Kes jangkitan Influenza A dikesan di Cyberjaya dan Klang

SELANGOR – Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan sehingga kini terdapat dua lokasi berlaku wabak penyakit Influenza A di negeri itu iaitu di Cyberjaya dan Klang.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata,  wabak pertama dilaporkan di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya membabitkan 20 pelajar dan seorang guru yang mengalami demam, batuk dan selesema.

Lokasi wabak kedua di Klang pula membabitkan dua beradik dan kedua-dua mangsa sudah mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, kes jangkitan penyakit itu adalah terkawal dan tiada penutupan sekolah dilakukan di Selangor akibat Influenza A.

Jelasnya jangkitan virus influenza bermusim hanya mengakibatkan demam selesema yang ringan pada individu biasa namun boleh menyebabkan jangkitan teruk kepada kumpulan berisiko tinggi antaranya kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka berpenyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah.