Yasin Sulaiman tiba di mahkamah, didakwa miliki dan tanam pokok ganja

PENYANYI serta komposer, Yasin Sulaiman yang ditahan polis kerana disyaki memiliki dan menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini, baru-baru ini tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, untuk didakwa.

Yasin, 47, yang memakai baju-t hitam tiba di mahkamah kira-kira 10 pagi diiringi anggota polis, lapor Harian Metro.

Dia akan dituduh mengikut Seksyen 39B dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 masing-masing di Mahkamah Majistret serta Sesyen.

Kegiatan penyanyi nasyid yang juga komposer muzik menanam pokok ganja terbongkar selepas kediamannya diserbu polis minggu lalu.

Dalam serbuan pada 5.30 petang, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Siasatan polis mendapati, pokok ganja yang ditemui itu adalah untuk kegunaannya sendiri.

Sumber: Harian Metro