Tempat pembakar daging itik punca Pavilion diselubungi asap tebal

PENGUNJUNG pusat beli-belah terkenal Pavilion Kuala Lumpur dikejutkan dengan asap tebal yang menyelubungi sebuah restoran sebentar tadi.

Suasana juga dikatakan menjadi panik akibat kejadian yang berlaku di tingkat satu pusat beli-belah terkenal itu, lapor Kosmo.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.12 petang.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dengan bantuan BBP Jalan Tun Razak bersama beberapa jentera telah dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati, asap tebal berpunca dari sebuah restoran di tingkat satu pusat beli-belah berkenaan,” katanya kepada Kosmo.

Mengulas lanjut, kebakaran berjaya dipadam sendiri selepas ‘Sprinkler Head’ telah pecah disebabkan bahang yang terhasil dari kebakaran tersebut.

“Kita juga difahamkan, kebakaran mula berlaku di tempat pembakar daging itik di restoran berkenaan selepas dimaklumkan sendiri pemilik restoran tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan oleh unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur,” jelasnya.

Sumber: Kosmo