Pukul bekas isteri: Radhi OAG mengaku tidak bersalah

VOKALIS kumpulan terkenal, Muhammad Radhi Razali atau dikenali Radhi OAG mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan mencederakan dan memukul bekas isteri.

Muhammad Radhi, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, lapor Berita Harian.

Terdahulu, Muhammad Radhi tiba di Kompleks Mahkamah di sini, jam 8.53 pagi dengan bergari secara berkumpulan dan memakai baju biru.

Artis berkenaan yang diiringi beberapa anggota polis kemudian dibawa masuk ke mahkamah.

Kelmarin, polis dilaporkan menahan artis terbabit kerana disyaki memukul dan mencederakan bekas isterinya di sebuah kediaman di Kota Damansara, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, dilaporkan berkata, penahanan dibuat selepas polis menerima aduan daripada bekas isteri suspek berusia 27 tahun.

Pengadu mendakwa, dia berada di kawasan parkir kediaman bekas suaminya itu di Kota Damansara, jam 2.29 petang untuk mengambil anak lelaki daripada artis berkenaan.

Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham kerana pengadu dikatakan enggan bergambar dengan suspek sehingga artis itu didakwa marah dan memukul badan wanita berkenaan menyebabkannya lebam serta anggota badan sakit.

Sumber: Berita Harian