Kes Bella: Hakim beri amaran, netizen jangan terlalu lantang

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memberi amaran keras kepada orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes perbicaraan remaja perempuan OKU yang dikenali sebagai Bella. 

Amaran itu dikeluarkan Hakim Izralizam Sanusi selepas pihaknya dimaklumkan masih wujud hantaran di laman sosial berkaitan kes tersebut. 

Malah perkara tersebut juga turut dibangkitkan oleh peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim, Datuk Baljit Singh Sidhu. 

“Apa yang jelas, mahkamah perlu mengingatkan semua, kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan, menghina mahkamah dan fitnah. 

“Oleh itu mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang ramai terutamanya yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah. 

“Sekiranya berlaku perkara-perkara tersebut, DPP boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran yang jelas melanggar undang-undang yang menghina mahkamah atau subjudis,” katanya pada prosiding hari ini. 

Jelasnya, setakat ini proses keterangan saksi masih belum selesai termasuk ada saksi yang tidak hadir. 

Bagaimanapun pihaknya berpendapat komen-komen dia media sosial kelihatan agak melampau. 

Menurutnya, perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh masih belum dibuktikan bersalah. 

“Saya percaya orang awam dan pihak wartawan boleh memainkan peranan yang penting dengan mengikut kes ini berdasarkan undang-undang sedia ada, jangan membuat komen-komen yang menganggu saksi,” tambahnya. 

Justeru beliau mengarahkan barisan pendakwaan untuk mengambil tindakan pendakwaan ke atas mana-mana individu secara spesifik dengan merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan.

Terdahulu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.