Wanita dibelasah 15 lelaki selepas didakwa curang

SEORANG wanita yang bergelar isteri di India dilaporkan telah dibelasah 15 individu sekaligus gara-gara dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain

Tidak cukup dibelasah, wanita itu juga dipaksa berkahwin dengan kekasih gelapnya itu, lapor Daily Star.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah perkampungan di Madhya Krishnapur dalam wilayah Bengal Barat pada malam Sabtu lalu.

Pegawai penyiasat, Sonacharan Jamatia berkata, wanita tersebut yang dikejarkan ke hospital telah ditemui pihak polis bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun pihak polis belum menerima sebarang aduan bertulis lagi, tapi akan ada siasatan berhubung dakwaan kejadian itu,” katanya, lapor Daily Star.

Berdasarkan keterangan wanita terbabit, kumpulan 15 lelaki yang membelasahnya secara terbuka ketika hari kejadian rupanya didalangi suaminya sendiri.

Jelasnya, suaminya membawa kumpulan tersebut ke sawah (lokasi dipercayai dia berada) dan menuduhnya mempunyai hubungan sulit, sebelum memukulnya beramai-ramai hingga tidak sedarkan diri.

Di samping itu, lelaki yang didakwa menjadi skandal wanita tersebut pula turut diganggu mereka secara fizikal.

Difahamkan, ketika kejadian, situasi ‘ganas’ itu dirakam oleh orang awam yang menyaksikan wanita tersebut dikelilingi penduduk kampung.

Selepas selesai dibelasah dan mulai sedar, wanita itu dipaksa bertukar kalungan bunga (istiadat perkahwinan di sana) dengan skandalnya sebagai simbolik perkahwinan mereka.

Dalam klip rakaman video yang tular itu, turut kelihatan beberapa orang di situ menggalakkan si suami untuk menyapu vermilion pada dahi wanita berkenaan.

Menurut laporan, suaminya akhirnya mengaku bahawa dia dan ahli keluarganya membelasah isterinya kerana mengesyaki dirinya dicurangi.

Difahamkan, isterinya melakukan hubungan sulit dengan skandal pilihannya yang juga berasal dari kampung yang sama.

“Selepas kejadian itu, saya membawa dia ke hospital Teliamura untuk dirawat dan saya juga bermalam di sana. Pihak polis juga datang melawat kami,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Tripura untuk Wanita (TCW) peringkat negeri, Barnali Goswami mengecam insiden tersebut.

Sumber: Daily Star, Siakap Keli