Cukai Cecair Vape Bermula 1 April 2023

Kerajaan telah melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) hari ini, 1 April 2023.

Memetik laporan Berita Harian, pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Sementara itu, warta dikeluarkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Pengecualian itu terpakai ke atas tampalan dan gula-gula getah nikotin, yang didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sebelum ini, nikotin, dengan pengecualian kepada tembakau, diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan C yang hanya boleh dijual doktor dan ahli farmasi.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sedang dalam proses untuk mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Dr Zaliha bagaimanapun, memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan tetap diteruskan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof Amrahi Buang pula menggesa kerajaan supaya menolak cadangan memberikan pengecualian kepada produk cecair atau gel nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, cadangan sedemikian akan memudaratkan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dan bukan untuk kepentingan negara.

Sementara itu, Dr Zaliha ketika dihubungi Berita Harian, berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Gambar : Freepik | Sumber : Berita Harian