Kematian Tangmo merupakan ‘Kemalangan’ – Ketua Polis Thailand

KEMATIAN aktres Thailand, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong adalah kemalangan berdasarkan bukti, jelas Ketua Polis Thailand, Suwar Jangyodsuk.

Pol Jen Suwat bagaimanapun berkata, pihak polis menjangkakan untuk mengetahui keputusan dengan lebih lanjut dalam beberapa hari apabila keputusan pemeriksaan forensik keluar.

Beliau juga telah mengarahkan penyiasat untuk meneliti kenyataan saksi dan bukti berkaitan seperti rekod telefon dan kelajuan pemanduan serta data GPS bot laju itu.

Mayat pelakon berusia 37 tahun itu ditemui pada 26 Februari lalu, hampir dua hari selepas dia terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya ketika menaiki bot laju bersama lima yang lain.

Sementara itu, Tanupat “Por” Lerttaweewit dan Phaiboon “Robert” Trikanjananun didakwa mengendalikan kapal tidak berlesen dan kecuaian menyebabkan kematian selepas kejadian itu.

Manakala, tiga lagi penumpang ialah Idsarin “Gatick” Juthasuksawat, iaitu pengurus Tangmo, Wisapat “Sand” Manomairat dan Nitas “Job” Kiratisoothisathorn.

Memetik laporan Bangkok Post, kelima-lima mereka dilaporkan telah dipanggil untuk disoal siasat pada Ahad. Mereka telah dikecam hebat oleh netizen berhubung insiden dengan ibu Tangmo turut terlibat dalam perdebatan berturut-turut mengenai pampasan kematian anak perempuannya.

Sekurang-kurangnya 29 saksi kini telah disoal siasat dalam siasatan kematian aktres itu.

Pol Lt Jen Jirapat Phumijit, pesuruhjaya Polis Wilayah 1 berkata pada hari Ahad, pihak polis masih mengumpul bukti dan siasatan akan mengambil sedikit masa.

Siasatan sedang dijalankan secara telus tanpa ada gangguan dan Ketua Polis Negara turut menyelia siasatan itu.

Terbaru, penyelam dari bahagian polis marin telah menemui dua objek dari Sungai Chao Phraya berhampiran jeti Phibul Songkhram dan menyerahkannya kepada pemeriksaan forensik.

Objek yang dijumpai oleh pihak polis itu dipercayai objek yang dilemparkan oleh saksi ke dalam sungai selepas Nida terjatuh dari bot laju.

Pada laporan sebelum ini, polis telah mengesahkan Tangmo meninggal dunia akibat lemas susulan penemuan lumpur pada paru-parunya.

Polis juga turut menemui luka besar pada paha kanan mangsa tetapi masih belum mengesahkan sama ada ianya dari kipas bot atau sebaliknya.

Sementara itu, upacara memperingati pelakon itu akan diadakan di Liberty Church Bangkok di daerah Saphan Sung bermula 11 hingga 13 Mac.

Sumber: Bangkok Post, Siakap keli