Shahidan tinjau kawasan terjejas banjir, saluran tersumbat sampah antara punca

MENTERI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim meluangkan masa meninjau keadaan di kawasan terjejas banjir kilat pada petang Isnin.

Menerusi ciapan di Twitter Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shahidan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah memantau kawasan yang dinaiki air di underpass di Jalan Tun Razak, di ibu negara.

Anggota Warden Trafik DBKL turut berada di kawasan terbabit bagi membantu mengawal kesesakan lalu lintas.

Banjir kilat yang mula melanda ibu negara sekitar jam 5 petang tadi menjejaskan sekurang-kurangnya 23 kawasan dan menyebabkan ribuan kenderaan terjejas akibat ditenggelami air.

Menurut Shahidan, antara punca kejadian adalah kerana saluran air di beberapa kawasan tersekat dengan sisa sampah.

Bagaimanapun air mula surut selepas saluran berjaya dikosongkan

“Kami guna dua kaedah iaitu menggunakan pam untuk mengeluarkan air dan membersihkan saluran air yang tersekat dengan sampah bawaan arus,” jelasnya. 

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di laman Facebook rasminya memaklumkan setakat 7 malam, sebuah Pusat Pemindahan Banjir telah dibuka di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru bagi menempatkan penduduk Kampung Periuk.

Jumlah mangsa banjir dipindahkan setakat jam 6 petang adalah seramai 74 orang.

Sehingga kini, belum dapat dipastikan jumlah kenderaan yang rosak akibat kejadian itu.

Beberapa kawasan kediaman di sekitar ibu negara turut dinaiki air.

Turut dibuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kelab Sultan Sulaiman pada petang Ahad.

Pendaftaran mangsa banjir bagi dtempatkan di PSS juga masih diteruskan