“Jangan babitkan keluarga saya” – Aliff Syukri hadir beri keterangan di SKMM

MV Raya Aliff Syukri didakwa hina Islam dan

USAHAWAN kosmetik kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, merayu semua pihak tidak mengaitkan ahli keluarganya dalam isu video Aidilfitri mencolok mata yang dilakonkannya baru-baru ini.

Beliau juga turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya itu, lapor Berita Harian.

“Saya memohon maaf kepada masyarakat yang tersinggung dengan lagu saya, video saya dan saya nak minta maaf banyak-banyak.

“Saya memohon supaya jangan babitkan keluarga saya, mak saya. Mak saya sedang mengerjakan umrah. Jangan salahkan isteri saya kerana dia tidak bersalah.

“Jangan salahkan bonda, bonda tidak bersalah,” katanya kepada Berita Harian.

Baca juga: Video Klip Raya Aliff Syukri dirujuk kepada JAKIM

Terdahulu, Aliff Syukri yang tiba di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Cyberjaya pada jam 9.58 pagi tadi bagi memberi keterangan hampir lima jam bagi membantu siasatan berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikaitkan dengan unsur bertentangan norma dan budaya tempatan.

Aliff Syukri berkata, beliau berterima kasih dengan pihak SKMM dan beliau sudah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, semalam dilaporkan berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan.

Penayangan video berkenaan melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata yang tidak sesuai untuk tontonan ramai lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

Tindakan itu turut mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk ibunya sendiri yang juga usahawan, Rozita Ibrahim.

Sumber: Berita Harian