Berang pelawaan bergambar ditolak, penyanyi pukul bekas isteri

FOTO: Awani

SEORANG penyanyi lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes keganasan rumah tangga pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penyanyi berusia 45 tahun itu telah ditahan di kediamannya di sekitar Kota Damansara di sini.

“Berdasarkan keterangan kes, kira-kira pukul 2.29 petang semalam, bekas isteri suspek yang berusia 27 tahun telah ke rumah suspek untuk mengambil anak lelaki mereka.

“Namun, berlaku perselisihan faham kerana wanita berkenaan enggan bergambar dengan suspek. Berang akan tolakan bekas isterinya, suspek telah memukul wanita berkenaan pada bahagian badan sehingga terdapat kesan lebam dan sakit pada anggota badan mangsa,” katanya kepada Kosmo.

Mengulas lanjut, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menahan suspek di kediamannya sekitar Kota Damansara bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek akan dihadapkan ke hadapan Majistret pada esok untuk permohonan tahanan reman bagi siasatan selanjutnya,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Sek 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017.

Sumber: Kosmo