Chelsea dibenam Arsenal, cipta rekod tewas 3 perlawanan di tempat sendiri berturut-turut

PENYERANG Eddie Nketiah menjaringkan gol berganda pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Arsenal menghidupkan peluang bagi merebut penamat empat teratas musim ini dengan menewaskan Chelsea 4-2 awal pagi tadi.

Pemain berusia 22 tahun itu menamatkan penantian jaringan sejak April 2021 dengan gol pembukaan di Stamford Bridge pada minit ke-13 sekaligus membalas kepercayaan yang diberikan pengurus, Mikel Arteta, ke atas dirinya.

Memetik laporan Astro AWANI, Timo Werner kemudian menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut buat kali kedua sepanjang kariernya di Chelsea untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-17 sebelum Emile Smith Rowe kembali meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-27.

Eddie Nketiah meraikan gol pembukaan

Bagaimanapun, Cesar Azpilicueta memastikan Chelsea sekali lagi mengikat kedudukan sebelum menuju ke bilik persalinan.

Namun malang, dia menjadi punca Arsenal diberikan sepakan penalti yang disempurnakan Bukayo Saka dalam waktu kecederaan selepas Nketiah memperoleh jaringan kedua peribadinya pada minit ke-57.

Ia juga menyaksikan Chelsea tewas tiga perlawanan di laman sendiri secara berturut-turut dalam kesemua kejohanan buat kali pertama sejak 30 tahun lalu.

Arsenal seterusnya akan melayani kunjungan Manchester United, Sabtu ini dalam perlawanan yang dilihat akan menentukan kedudukan empat teratas mereka musim ini.

Chelsea pula akan menghadapi satu lagi aksi ‘derby’ London menentang West Ham sehari kemudian.

Sumber: Astro AWANI