“Keadaan Siti Sarah sangat-sangat tidak baik, oksigen merosot ke 40 peratus” – Shuib sebak perjelas keadaan isteri

USAHAWAN selebriti, Shuib Sepahtu memaklumkan keadaan terkini isterinya, Siti Sarah kembali merosot selepas tahap oksigen dalam badan jatuh hingga ke paras 40 peratus.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira bin Muhamad, 37, berkata demikian semasa sesi bacaan Yasin secara maya buat isterinya itu sebentar tadi.

“Sebelum masuk live ni, tadi doktor ada call, condition Sarah sangat tidak baik sekarang ni.

“Dia punya oksigen tinggal 40 peratus. Doktor sedang cuba terbalikkan dia,” jelas Shuib.

Bekas penyampai radio Hot FM ini turut meminta agar orang ramai dapat mendoakan kesembuhan isterinya yang masih dalam pemantauan rapi doktor.

Shuib turut dilihat gagal menahan air mata lalu meminta agar majlis bacaan Yassin dimulakan dengan segera supaya dapat mendoakan kesihatan isteri.

Lebih 900 individu turut serta dalam sesi bacaan Yasin yang dilakukan melalui aplikasi Zoom.

Sesi dan doa itu diketuai oleh Uztaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Terdahulu pada Sabtu, Shuib berkata Siti Sarah perlu ditiarapkan dengan harapan oksigen dan paru-paru boleh bekerjasama.