Siti Sarah meninggal dunia akibat COVID-19

PENYANYI Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia selepas bertarung nyawa akibat COVID-19.

Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.13 pagi Isnin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Khabar duka tersebut dikongsikan oleh suaminya, Shuib di laman Instagram.

“Bidadari syurga saya telah pergi buat selama-lamanya. Mohon sedekah Al-Fatihah,” tulisnya

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Semakin itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami batuk teruk dan kekurangan oksigen dalam badan pada 4 Ogos lalu.

Dia yang hamil lapan bulan juga telah menjalani pembedahan bagi menyelamatkan kandungannya pada 6 Ogos.

25 Julai lalu, Sarah serta seluruh keluarganya disahkan positif menghidap COVID-19 selepas pembantu rumah mereka meninggal dunia akibat penyakit sama.