Pocket Rocketman hadiahkan perak buat negara!

Foto: Majlis Sukan Negara Malaysia

HASRAT negara membawa pulang satu lagi pingat akhirnya diabadikan jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Kejayaan menerusi kedudukan kedua pada acara keirin di Velodrum Izu hari ini sekaligus membawa kebanggaan kepada negara dengan kalungan pingat perak.

Meskipun berjuang sehabis baik bagi memburu emas, Malaysia bagaimanapun terpaksa akur kepada pelumba Great Britain, Jason Kenny, yang meraih emas.

Pencapaian atlet dengan panggilan The Pocket Rocketman itu menjadikan negara membawa pulang pingat terakhir yang sebelum ini gangsa diperoleh beregu badminton, Aaron Chia dan Wooi Yik.

Sebelum mara ke pusingan akhir, Azizulhasni menunjukkan aksi cemerlang dengan kedudukan pertama di peringkat separuh akhir sebelum layak berentap di final.

Pencapaian Azizulhasni juga menjadikan pencapaian yang terbaik beliau apabila sebelum ini meraih gangsa pada Olimpik Rio pada 2016.

Apa yang penting, pencapaian itu sudah semestinya menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia yang bakal menantikan kepulangannya serta barisan kontinjen negara.

Terima Kasih Azizulhasni Awang dan seluruh atlet negara!