Juara bola sepak gaya bebas sekaligus mengharumkan nama Malaysia

Merangkul gelaran juara sekaligus mengharumkan nama Malaysia, Mifzal Faiq Azhar menyertai pertandingan bola sepak gaya bebas beberapa hari lalu tular di laman Twitter.

Dengan usaha dan minatnya tidak menyangka dapat melucutkan tiga buah negara yang merupakan pihak lawan terdiri dari Singapura, Indonesia dan Jepun.

Semasa dihubungi The News, Faiq turut meluahkan rasa gembira serta menceritakan pengalaman semasa di temu ramah.

Faiq dua dari kanan

“Semestinya perasaan gembira yang dapat saya luahkan kerana bukan senang menentang pihak lawan yang berasal dari negara yang ternama

“Saya juga sudah berkecimpung dalam bola sepak gaya bebas selama 8 tahun. Berlatih hanya mengambil masa dua minggu untuk pertandingan saya sertai,” katanya ketika dihubungi The News.

Lantas, Ciapan berdurasi 27 saat itu meraih tontonan seramai 119,000 ribu, 5,243 ulang ciap, lebih 10,000 tanda suka serta 100 komen yang positif dari warga maya.

Sementara itu, Faiq, 20, pelajar Program Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam berkata duit kemenangan digunakan untuk membiayai pembelajaran dia.

Kemudian, Faiq juga turut memberitahu bahawa dia banyak belajar dari saluran YouTube untuk mengasah lagi bakatnya dalam bola sepak gaya bebas dan tiada tenaga pengajar yang diperlukan.

Berkat sokongan yang padu dari Ibu dan Ayahnya, membuatkan dia berani meneroka lebih dalam hingga mengaut banyak kejuaraan dari setiap pertandingan.

“Pada mulanya, Ibu dan Ayah saya tidak ambil endah dengan hobi yang saya minat ini. Sehingga saya mendapat tempat pertama dalam pertandingan pada tahun 2014,

“Sejak dari kejadian itu, mereka terus tidak berhenti memberi sokongan dan dorongan yang padu. Malah mereka memberi perbelanjaan pengangkutan untuk saya pergi ke tempat pertandingan,” katanya lagi.

Bercakap mengenai perancangan, Faiq tidak lokek berkongsi untuk anak muda yang minat dalam hobi yang sama seperti dia.

“Saya harap agar diri saya dan anak muda di luar sana, lebih banyak menyertai pertandingan sebegini serta dapat mengharumkan nama Malaysia.

“Saya juga berharap ada banyak pihak yang menawarkan saya dalam pertandingan seperti ini untuk saya luangkan lagi masa saya dalam minat yang saya ceburi,” katanya.

Bagaimanapun, Faiq, anak kedua dari lima beradik, turut memberi nasihat kepada anak muda di luar sana yang mempunyai minat kukuh dalam bola sepak gaya bebas.

“Mesej yang saya ingin sampaikan adalah, jangan cepat mengalah. Perlu letak usaha dalam satu bidang yang kita minat hingga kita berjaya. Sebab saya juga dulu pernah rasa putus asa, kita semua manusia yang ada perasaan,” katanya.