Isteri sumber inspirasi Fattah Amin

Namanya lebih terkenal sebagai pelakon. Namun selepas lima single yang dikeluarkan Fattah Amin tidak menyangkal dunia nyanyian juga sama penting dengan karier lakonannya.

Malah pada saat ini dia menolak pilihan untuk menjadi penyanyi hanya dibuat secara suka-suka. Muncul dengan lagu baharu berjudul Bebas, kata Fattah untuk lagu ini dia bukan sahaja menyanyi namun dalam masa yang sama turut mencurahkan idea untuk muzik video untuk lagu ini.

“Siapa kata saya main-main menyanyi? Saya serius. Cuma, menyanyi bukan seperti berlakon. Lakonan mengambil masa panjang, menyanyi pula rekod lagu dalam masa seminggu boleh siap.

“Tanggapan itu tak betul. Lihat bagaimana saya begitu bersemangat terbabit daripada A hingga Z untuk lagu Bebas. Daripada proses demo hinggalah ke video muzik.

“Peminat kenal saya sebagai pelakon, tetapi jujurnya, saya serius menyanyi. Saya minat menyanyi sejak zaman kolej lagi, siap ada kumpulan sendiri.

Cuma ketika awal menyertai pentas seni, rezeki lakonan yang lebih dulu ditawarkan,” katanya.

Bercakap mengenai lagu Bebas ciptaan Rudy Nastia serta lirik Leo Azman di bawah label Universal Music Sdn Bhd ini, Fattah tidak berselindung untuk memberitahu isterinya yang juga seorang pelakon dan penyanyi Nur Fazura Sharifuddin menjadi sumber inspirasi.

“Tak dinafikan lagu Bebas banyak mengambil inspirasi daripada isteri saya. Dia sendiri memang sudah lama menyebarkan segala elemen dan aura positif dalam hidup termasuk di media sosial.

“Apabila saya menjadi suaminya, inspirasi itu jadi bertambah dekat dalam diri. Kalau perasaan sebelum ini pun dia ada menyebarkan elemen positif menerusi lagu Sayangi Dirimu,” katanya.

Bercakap lebih lanjut mengenai lagu ini. Kata Fattah, Bebas juga menjadi lagu semangat buat mereka yang kini berdepan dengan masalah dalam kehidupan.


“Melihat kepada judul lagu ini secara jelas juga membawa kita kepada erti sebuah kebebasan dan tidak mahu terus terbelenggu dengan hal yang negatif.

Saya melihat cara penyampaian lagu ini ditujukan kepada sesiapa saja termasuk peminat yang berdepan masalah sosial termasuk kemurungan.

“Lagu ini cuba menyalurkan semangat baru dan menyuntik motivasi sekali gus mahu membebaskan daripada bebanan dan tekanan masalah dialami.

Pada akhirnya juga kita harus yakin dan percaya dengan diri, bahawa setiap permasalahan pasti ada jalan keluar daripada kepompong itu.

Kita harus ingat masih ada orang sekeliling termasuk keluarga dan kawan yang boleh menyokong kita daripada terus larut tanpa arah tujuan.

“Jika diteliti bait lirik lagu ini ia sebenarnya membawa mesej positif kepada yang mendengarnya,” kata Hero Remaja 2012/13.

Sementara itu single terbarunya Bebas telahpun berada di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer. Joox dan juga Apple Music bermula pagi 13 Mac 2020.