Issey Kini Bergelar Penerbit Drama

SELEPAS bergelar pelawak, pelakon, pengacara, penyampai radio dan penyanyi kini Issey Fazlisham turut bergelar seorang penerbit drama. Melihat ini sebagai satu lagi cabang untuk mengembangkan bakat seni yang dimiliki, kongsinya pada tahun 2020 dia melihat ini antara satu lagi kejayaan awal buat dirinya.

“Saya sudah menubuhkan sebuah syarikat produksi sendiri. Memilih nama Red Bean Production buat masa ini kami sudah menghasilkan dua drama untuk terbitan RTM.

“Untuk drama pertama diarahkan oleh Sabri Yunus dan drama kedua diarahkan saya sendiri. Saya memilih untuk tidak berlakon dalam kedua-dua drama ini kerana mahu memberi tumpuan buat tugas sebagai penerbit sahaja,’ katanya yang membina perniagaan ini bersama seorang lagi rakan kongsi.

Menolak sekadar untuk mengikut trend, kata Issey impian untuk bergelar seorang penerbit sudah lama dipendamkan memandangkan sejak belajar lagi dia sudah menanam impian untuk mempunyai syarikat penerbitan sendiri.

“Saya memang minat bidang penerbitan sejak dari dahulu lagi.

“Bila berlakon sahaja tidak rasa puas, jadi bila ada peluang untuk bergelar penerbit saya anggap ini rezeki terbesar di tahun 2020,” katanya kepada The News.