Penunggang motosikal maut terperosok bawah kereta

Kredit-Awani

Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai tercampak lalu terperosok di bawah kereta akibat motosiakl yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah motosikal di Kilometer 51.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, awal pagi tadi. 

Kejadian yang berlaku lingkungan jam 1 pagi, mangsa yang  berusia 20-an, dipercayai menunggang motosikal jenis Honda Dash dan berlanggar dengan motosikal jenis Yamaha Y150 sebelum dirempuh kereta jenis Proton Persona yang datang dari arah belakang.

Kredit-Awani

Kemudian, Akibat rempuhan yang berlaku, mangsa terperosok di bawah kereta, manakala seorang lagi penunggang tercampak ke bahu jalan.

Kejadian disahkan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain.

Menurutnya, ketika anggotanya tiba pada jam 1.32 pagi di lokasi kemalangan, mangsa dilihat berada di bawah kereta dalam keadaan mengerang kesakitan.

Tindakan yang diambil anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang adalah mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

Kata Mohamadul Ehsan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan sebaik dia berjaya dikeluarkan.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta Persona, seorang wanita berusia 30-an, tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Menurut sumber Awani, seorang lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan di tangan dan kaki.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk bedah siasat, sementara mangsa yang cedera turut di hantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.