Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Ismail Izzani menganggap kontroversi demi kontroversi yang terpalit dengannya adalah pengalaman yang banyak mendewasakan dirinya menjadi manusia lebih baik.
Ismail berkata, seandainya dia diberi peluang untuk mengundur waktu, dia enggan mengubah satu pun kenangan yang pernah menghambat namanya sebelum ini.
“Saya bersyukur kerana pengalaman lalu banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar. Kalau ada peluang untuk patah balik masa, saya tak nak tukar apa-apa kejadian yang pernah berlaku dalam hidup saya kerana ia membentuk diri saya sekarang.
“Saya bermula dalam bidang ini seawal usia 16 tahun dan orang luar melihat segala proses saya membesar dan kehidupan yang saya lalui,” katanya.
Ismail berkata, dia juga tidak mahu salahkan sesiapa atas apa yang berlaku, tetapi menyalahkan dirinya sendiri kerana memilih bidang itu hingga tidak ke sekolah dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Atas sokongan ibu, saya juga sanggup ‘busking’ di luar sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur kerana muzik begitu dekat di hati saya dan tidak akan sesekali meninggalkan bidang yang saya cintai ini. Saya sanggup berdepan apa saja kecaman kerana inilah kenangan yang berharga untuk diri saya.
“Kalau orang nak benci sekali pun, sampai tahap mana mereka nak benci. Ada je orang yang mahu bergambar sehingga terdetik di hati mungkin mereka dalang di sebalik komen kecaman yang ditinggalkan. Apapun saya tak ambil peduli sebab saya berdiri hari ini sebab muzik dan banyak lagi perkara yang saya nak teroka,” katanya.
Menurut Ismail, selepas berdepan kontroversi demi kontroversi dia akan sentiasa mengingatkan dirinya untuk terus pandang ke depan walaupun mengakui berat menanggung ujian yang datang.
“Nak kata kurangkan kontroversi pada masa akan datang pun tak boleh juga sebab bukan saya yang minta. Kalau benda nak jadi, dia jadi dan saya tak boleh lari. Sekarang semua benda di hujung jari dan orang boleh berada di mana-mana.
“Inilah kehidupan yang saya pilih dan kalau benda nak jadi kepada saya, apa boleh saya buat. Takkan saya nak menangis atau tertekan walaupun semua itu saya lalui ketika itu, tapi saya sentiasa mengingatkan diri untuk bangun dan terus pandang ke depan.
“Bagaimanapun saya sentiasa berharap agar dapat kurangkan kontroversi kerana apa yang saya lalui selama ini sangat berat dan masih berjuang. Saya tak nak janji apa-apa tapi akan cuba menjadi lebih baik,”katanya.
Sumber: Harian Metro