Bakal Suami Lari, Pengantin Perempuan Bernikah Dengan Bakal Bapa Mentua

Foto: Harian Metro

Jakarta: Sungguh pilu, wanita Indonesia ini terpaksa bernikah dengan lekaki yang sepatutnya menjadi bapa mentuanya selepas bakal suaminya lesap pada hari bahagia mereka.

Dilaporkan, bakal suami wanita itu, Isra melarikan diri pada 29 Ogos lalu ketika dia dan keluarganya di Kampung Jikotamo, Daerah Obi, Halmahera Selatan menanti ketibaan rombongan pengantin lelaki.

Dalam video tular yang dimuat naik akaun @in_formania, seorang lelaki memakai baju batik lengan panjang duduk berbincang dengan lelaki didakwa bakal bapa mentua wanita itu sebelum mereka bersetuju dengan pernikahan itu.

Abang wanita itu, Wisto Ahmad berkata, lelaki itu dan adiknya sudah lama menjalin cinta dan saling menyayangi.

Katanya, mereka sekeluarga tidak menyangka pengantin lelaki tidak muncul walaupun ramai tetamu datang meraikan hari bahagia mereka.

“Keluarga pengantin lelaki mendakwa, anak mereka hilang tanpa mereka sedar.

“Kami bukan saja menanggung malu, malah akibat perbuatan lelaki itu, pihak kami kerugian kira-kira 25 juta rupiah (RM7,623.77) untuk semua persiapan majlis perkahwinan mereka,” katanya kepada Tribunternate.com.

Wisto berkata, pihaknya belum bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki itu selain berharap orang ramai membantu keluarganya memberi maklumat sekiranya menemui Isra.

Sumber: Kosmo