Naim Daniel Mahu Kahwin Sebelum Usia 30, Akui Sudah Ada Pilihan Hati

Foto: The Star

Kuala Lumpur: Penyanyi, Naim Daniel, 26, mendedahkan dia sedang melalui fasa bahagia dengan seseorang wanita yang juga rakan dalam industri muzik.

Naim ketika ditemui bagaimanapun belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut mengenai identiti wanita yang sedang bertakhta di hatinya ketika ini.

“Hubungan kami baru saja nak berputik, tapi keluarga kedua-dua belah pihak sudah maklum mengenainya. Saya selesa dengannya kerana kami ada persamaan iaitu memiliki sikap ‘gila-gila’ dan mempunyai pemikiran yang sama.

“Dia seorang yang sangat baik, tapi bapa saya nasihatkan supaya jangan terlalu teruja sebab bimbang menangis nanti. Sebab itu saya lebih selesa untuk tidak membicarakan perkara ini terlalu mendalam. Soal percintaan atau perpisahan lebih baik simpan untuk diri sendiri saja,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Patah Hati 2.0 yang bakal berlangsung pada 23 November depan di Zepp Kuala Lumpur, di sini.

Menurut Naim, setakat ini belum ada sebarang perancangan untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya kerana mereka masih fasa berkenalan.

“Memang saya ada keinginan untuk berkahwin, tapi bukan sekarang. Banyak benda yang saya kena fikirkan terutama berkaitan dengan kerjaya nyanyian dan lakonan.

“Kalau boleh saya ingat menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun. Nanti umur dah banyak tapi anak masih kecil lagi.

“Jika saya nak kahwin atau ada sebarang majlis saya akan beritahu. Kami baru di fasa baru hantar mesej hello-hello,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Naim bakal menghiburkan peminat sebanyak enam lagu pada Konsert Patah Hati 2.0.

Katanya, salah satu lagu yang bakal dinyanyikan berjudul Kau Tigakan Cintaku daripada kisah tular isu Abang Tesla.

Naim bagaimanapun memilih lagu itu kerana isu terbabit sebaliknya meminati lirik dan melodi lagu berkenaan.

“Lagu ini sesuai dengan konsep dan tema konsert. Secara peribadi saya tak sangka penganjur akan panggil lagi untuk konsert ini.

“Sebelum ini dalam Konsert Patah Hati pada Mac lalu, saya hanya menjadi diri sendiri dengan mendekati peminat dan tak boleh duduk diam sepanjang segmen saya. Tak sangka pula rupanya penganjur perhati dan berminat mengundang saya lagi,” katanya.

Sumber: Harian Metro