Individu Obses, Sebar Fitnah Ernie Zakri Ada Hubungan Sulit

Penyanyi Ernie Zakri mendedahkan dirinya berdepan gangguan daripada seorang individu sejak dirinya bertunang dengan Syamel empat tahun lalu hinggalah sekarang.

Individu itu juga turut menyebarkan fitnah kononnya Ernie menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki seorang pemuzik.

Bagaimanapun, Ernie dan suaminya Syamel tidak terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang atau bersemuka dengan individu terbabit.

“Sejujurnya saya dan isteri tak nak ambil tahu atau layan orang sebegini sebab merasakan dia tak layak pun dapat sebarang komen mengenai gangguannya terhadap kami.

“Bukan sahaja berjumpa, kami juga tidak nampak keperluan mengajukan perkara tersebut kepada pihak berkuasa kerana dia juga tak layak untuk membuang masa kami.

“Jika dibawa ke muka pengadilan, tentu saja menuntut komitmen tinggi. Jadi bagi saya, dia memang tidak boleh diberikan perhatian sesiapa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Pasangan suami isteri itu menganggap individu berkenaan hanyalah peminat yang terlalu obses.

Sumber : Kosmo