Gempar! Penyanyi maut jatuh balkoni hotel ketika cubaan lari daripada isteri

SEORANG penyanyi Brazil dilaporkan maut apabila terjatuh dari tingkat lima balkoni sebuah hotel dekat sini dipercayai selepas cuba melarikan diri daripada isterinya.

Kevin Nascimento Bueno atau lebih dikenali MC Kevin, 23, dikatakan ingin melompat ke balkoni lain namun terjatuh, lapor Daily Mail.

Menerusi laporan Sinar Harian, Mc Kevin baru berkahwin dengan isterinya yang juga seorang peguam, Deolane Bezerra, 33, pada 28 April lalu.

Perkahwinan mereka diadakan di sebuah pantai di Tulum, Mexico.

Menurut Extra Globo, ketika kejadian mangsa bersama seorang model Bianca Domingues, 26 dan rakan penyanyi itu, Victor Fontenelle.

Menurut polis, kejadian berlaku pada Ahad dan mangsa dikatakan panik selepas mendapat tahu isterinya berada di depan pintu bilik hotel lalu cuba melarikan diri sebelum terjatuh.

“Mangsa ditemui oleh tiga lelaki di tepi kolam dalam keadaan terbaring. Ketika itu, mangsa masih bernafas dan dikejarkan ke Hospital Miguel Couto namun dalam perjalanan ke hospital, dia telah mengalami dua serangan jantung sebelum disahkan meninggal dunia,” kata polis.

MC Kevin dikebumikan pada Selasa pagi di Parque dos Pinheiros Cemetery di São Paulo.

Dia terkenal menerusi lagu ‘Cavalo de Troia’ dan mencapai ratusan juta tontonan di YouTube.

Sumber: Sinar Harian