Viral ‘dicepuk’ helmet kuning, remaja cetus provokasi & persoal sokongan kepada Palestin ditahan polis

GARA-gara lantang mempersoalkan penentangan rakyat negara ini terhadap serangan udara Israel ke atas Gaza, seorang remaja lelaki ditahan polis Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, remaja terbabit yang merupakan pemilik akaun Facebook ‘Meofisherman’ itu turut mencabar dan membuat provokasi ke atas mana-mana individu hingga rumah keluarganya di Taman Sukma di sini diserbu orang ramai, malam Isnin.

Menurutnya lagi, remaja yang berusia 18 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi.

“Kita telah mendapatkan perintah reman terhadapnya selama empat hari, sehingga 22 Mei,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam satu hantaran video, remaja terbabit tanpa menyembunyikan identitinya mencetuskan kebencian apabila mempersoalkan sokongan umat Islam terhadap Palestin dan mendakwa mereka yang melakukan sokongan tidak cukup ilmu.

Malah dalam beberapa video yang tular, remaja terbabit bukan sahaja cuba menjelaskan pendiriannya, malah sempat dipukul oleh beberapa individu yang menyerbu rumah keluarganya.

Selain itu, Aidi berkata pihaknya turut memandang serius insiden lebih 15 individu berkumpul beramai-ramai dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di rumah keluarga remaja itu.

“Malah ada antara mereka ini dikesan tidak menggunakan pelitup muka serta gagal melakukan penjarakan fizikal.

“Untuk ini, pihak polis telah membuka satu lagi kertas siasatan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 kerana telah terkesan melakukan aktiviti terlarang melebihi lima orang berkumpul beramai-ramai.

Aidi menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dan melulu dalam kes seperti ini.

Sumber: Awani