Donnie Yen Akui Ip Man 4: The Finale Akan Menjadi Filem Kung Fu Terakhirnya

Tempoh 12 tahun membawakan watak utama dalam filem bersiri terkenal Ip Man, ternyata membawa nama Donnie Yen cukup terkenal ke seluruh dunia.

Bukan suatu tempoh yang sekejap namun kata Donnie terlalu banyak yang dilaluinya sepanjang menjayakan filem bersiri itu yang masuk episod ke empat dan terakhir kini.

Malah ketika hadir ke negara ini pada tahun 2015, Donnie sendiri memberitahu dia tidak tahu sama ada filem Ip Man 4: The Finale yang bakal ditayangkan beberapa hari lagi nanti akan diteruskan dirinya.

Berkongsi sebab mengapa dia tetap berada dalam filem terakhir untuk siri Ip Man ini, kata superstar Hong Kong ini bertemu dengan peminatnya dari serata dunia membuatkan dia cukup terinspirasi.

“Saya ada melawat suatu kawasan di Kenya di mana ada satu suku kaum yang lengkap berpakaian suku mereka dan mengenali siapa saya dengan memanggil saya Ip Man.

“Selain bertanya bila lagi filem ini akan dikeluarkan mereka juga turut memuji kehebatan filem ini.

“Bagi saya ini adalah sesuatu yang menginspirasikan.

“Selain itu saya juga turut mendapat soalan yang sama daripada banyak pihak yang dalam industri dan bukan mengenai sambungan filem ini. Jadi saya harap dengan Ip Man 4: The Finale dapat memuaskan hati semua pihak,”katanya.

Sementara itu ditanya kesahihan kenyataan yang mengatakan ini adalah filem kung fu terakhir buat dirinya. Donnie tidak menafikan. Namun jelas aktor berusia 56 tahun ini, tidak bermakna dia akan melupakan filem aksi lain.

“Apa yang saya katakan itu bukan bertujuan untuk mewujudkan promosi buat filem ini. Memang benar, namun jangan salah sangka bukan saya tidak akan berlakon dalam filem aksi lagi.

“Masih banyak genre yang akan saya teroka selepas ini antara filem aksi komedi masih juga aksi bukan,?

Jelas Donnie keputusan ini dibuat kerana dia mahu memberikan tumpuan kepada pengembangan kerjayanya.

“Saya perlu bergerak kehadapan untuk kerjaya saya.

“Ikutkan memang saya sangat lega Ip Man 4: The Finale menjadi filem terakhir untuk siri ini, memandangkan saya sudah memberikan yang terbaik sepanjang 12 tahun bersama jenama ini,”katanya.

Sementara itu bagi pengikut filem ini, Ip Man 4: The Finale akan ditayangkan pada 20 Disember 2019 di pawagam seluruh negara.