Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat Perpustakaan British di London

LONDON – Lawatan khas Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke United Kingdom diteruskan pada hari ketiga dengan melawat Perpustakaan British di ibu kota London. 

Ia merupakan antara perpustakaan terbesar di dunia dan menempatkan lebih 170 juta koleksi buku, manuskrip bertulis dan artifak sejarah dari pelbagai negara.

Ketibaan baginda pada pukul 10.30 pagi disambut Ketua Pegawai Operasi Perpustakaan British, Phil Spence dan Pengerusi British Library,
Dame Carol Black.

Hadir sama menemani Al Sultan Abdullah ialah puteri baginda, Tengku Puteri Iman Afzan.

Baginda dibawa melawat ke sekitar perpustakaan dan diberi penerangan mengenai artifak-artifak sejarah yang dipamerkan.

Baginda turut berkesempatan untuk melihat dengan lebih dekat dokumen lama, manuskrip dan pelan peta lama berkaitan sejarah kepulauan tanah melayu yang ada disimpan di perpustakaan tersebut.

Koleksi artifak tersebut kebanyakannya sudah berusia lebih 200 tahun dan masih berada dalam keadaan yang baik dan terjaga.

Menurut Ketua Seksyen Asia Tenggara Perpustakaan British, Datuk Dr Annabel Teh Gallop, pihaknya menyimpan lebih 10 ribu buku, majalah dan akhbar lama mengenai peristiwa dan sejarah di kepulauan melayu.

Ia termasuk lebih 100 manuskrip lama yang ditulis tangan dengan bahasa melayu dan huruf jawi sejak dari kurun ke 17.

Di akhir lawatan, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk menandatangani buku pelawat dan mengurniakan cenderahati kepada pihak perpustakaan British.