“Dah mula sejak 20 tahun lalu” – Ira Ghani bangga jadi ‘pioneer’ jalin kerjasama dengan artis

SELEBRITI dan pengasas produk, Datin Ira Ghani mengakui terharu dengan sokongan rakan artis terhadap dirinya meskipun sudah lama tidak muncul secara komersil mahupun dalam bidang seni mahupun perniagaan yang diusahakan.

Berkongsi cerita, Ira berkata beliau tidak sangka mendapat maklum balas positif selepas berkongsi bakal muncul dengan penjamaan semula perniagaan kosmetiknya Aura Seri yang kini dikenali sebagai Aura Seri by DIG sempena ulang tahun ke 20 syarikatnya.

“Saya memang tak sangka bila ramai yang sudi rakam video dan berikan ucapan tahniah kepada kami. Alhmadulillah lebih daripada 20 artis yang berikan ucapan kepada kami sempena kemunculan semula 20 tahun Aura Seri by DIG.

“Lebih manis, mereka juga izinkan kami siarkan ucapan itu di media sosial kami sempena kemunculan semula kami secara rasminya pada baru-baru ini,” katanya kepada TheNewsMalaysia.

Tambah Ira, dia berbangga syarikatnya menjadi pelopor dalam menjalinkan kerjasama dengan artis dan program hiburan sejak dua dekad lalu . Lantaran, ia ialah satu penghargaan buatnya apabila masih mendapat sokongan daripada rakan artis.

“Saya bersyukur masih ada yang kenang kami. Ramai yang bersama kami dahulu dan banyak aktiviti yang kami lakukan. Pada yang masih sudi menyokong, saya ucapakan setinggi penghargaan.

“Insya-Allah kami tidak lokek untuk berkongsi rezeki dan menjalankan usaha sama dengan mereka,” tambahnya.

Antara artis berkenaan termasuklah Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Awie, Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Rosyam Nor, Zizan Razak, Shiha Zikir, Ezad Lazim, Liza Abdullah dan David Teo.

Ira yang pernah berlakon dalam siri Gerak Khas, 7 hari Mencitaiku dan Kerana Anisa berkata, syarikatnya bakal mengukuhkan jenama dengan siri produk yang lebih berkualiti dengan slogan ‘Titisan Dari Kayangan’.

Selain produk baharu, keputusan untuk merancakkan lagi perniagaannya ialah membuka peluang perniagaan kepada semua pihak untuk menjana pendapatan dalam kepayahan menghadapi pandemik Covid-19 kini.

“Pendekatan perniagaan kami sesuai untuk semua peringkat umur dan meneruskan revolusi perniagaan dalam talian sesuai dengan situasi semasa yang berlaku. Produk kami juga sudah ada pengikut sendiri dan menyediakan bimbingan pada mereka yang mahu menyertainya.

“Saya sendiri kini aktif sebagai pembimbing  dan perniagaan termasuk bersama MARA dan sering menjalankan kelas. Saya akan gunakan kemahiran saya untuk pastikan para usawahan berjaya dalam bidang ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, satu program khas pencarian CEO Muda juga akan dilakukan sempena dengan penjenamaan semula 20 tahun Aura Seri by DIG dan terbuka kepada mereka yang layak mengikut kriteria yang ditetapkan.