Alololo… Kucen bergenang air mata bila owner balik kampung

SEEKOR kucing baka British Shorthair di Beijing, China viral di media sosial selepas pemiliknya memuat naik klip video menunjukkan haiwan itu sedang ‘menangis’, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal akhbar Daily Mail, Fu Fu yang berumur dua tahun dikatakan ‘menangis’ kerana ditinggalkan di rumah yang terletak di bandar Xuzhou sendirian ketika pemiliknya, Meng balik kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Meng berkata, dia mengawasi Fu Fu melalui monitor sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sepanjang berada di rumah ibu bapanya untuk makan besar sempena Tahun Baru Cina.

“Mata Fu Fu berkaca apabila memandang kamera CCTV dan tidak berhenti mengiau apabila saya memanggil namanya.

“Saya tidak membawanya ke rumah ibu bapa kerana bimbang Fu Fu tidak biasa di tempat baharu. Fu Fu seekor kucing yang pemalu,” jelasnya.

Klip video berdurasi 17 saat itu menerima lebih lapan juta tanda Like sejak Meng memuat naik­nya dalam platform media sosial tempatan, Douyin.

Tambah Meng, disebabkan Fu Fu ‘menangis’ bila bersendirian, dia membatalkan hasrat bercuti seminggu di rumah ibu bapanya dan pulang ke pangkuan kucingnya selepas empat hari.

Sumber: Kosmo!