Black Nafikan Yang Kapal Dan Villa Mewah Miliknya Itu Hasil Dari Penggubahan Wang Haram

Penyanyi, Black Hanifah menafikan kapal mewah dan villa miliknya di Langkawi dibeli menggunakan hasil daripada penggubahan wang haram.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhamad Hanafiah berkata, sekiranya dakwaan itu benar, sudah pasti dirinya disiasat oleh pihak berkuasa.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya perkara itu kerana ia tidak benar sama sekali! Saya memiliki perniagaan yang berdaftar, saya bayar cukai setiap tahun. Sebagai rakyat Malaysia, saya patuh dengan undang-undang negara.

“Kalau benar saya cuci duit, SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) dan polis mesti akan siasat dan saya tidak duduk di sini, saya duduk dalam lokap.

“Saya masih selamat kerana saya buat benda yang betul. Semua aset yang saya miliki hasil simpanan dan perniagaan atas talian yang berjaya selain daripada doa orang sekeliling,” katanya.

Menurut Black, dia masih berfikiran waras dan mengambil pendekatan untuk tidak melanggar undang-undang bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah.

Black berkata, dia bersyukur apabila hasil simpanan dan kerja keras sejak beberapa tahun lalu membuahkan hasil.

“Semua aset seperti kapal dan villa itu adalah hasil dari perancangan yang saya atur dengan baik selama tiga tahun. Sepanjang tempoh itu banyak ilmu baru yang saya belajar dan dalam masa sama saya belajar menyimpan.

Sumber : Harian Metro