Bernikah Khamis ini? Zahirah MacWilson minta tunggu dan lihat

KETIKA Aiman Hakim Redza sudahpun memberi “hint” jelas mengenai tarikh pernikahannya dengan Zahirah MacWilson, namun bagi pelakon jelita ini dia lebih senang untuk tidak mengiyakan pertanyaan wartawan semalam.

Namun menjawab persoalan mengenai perasaanya ketika ini, dia akui melangkah kedalam fasa berbeza menjadi detik besar buat kehidupannya.

“Tunggu dan lihat, Ia adalah satu detik yang besar buat kehidupan saya. Saya bukan nak berahsia, tapi biarlah ia menjadi kejutan,” kata pelakon jelita mengenai tarikh 20 Februari yang dikatakan bakal menjadi tarikh pernikahanya.

Tinggal dua hari sebelum melangkah ke alam perkahwinan, Zahirah memberitahu dia yakin ini adalah cabaran baharu buat dirinya.

“Ya, saya teruja. Ia adalah perjalanan dan cabaran baru yang akan saya tempuhi,” katanya.

Sementara itu difahamkan undangan majlis persandingan kedua-duanya sudah mula diedarkan dan akan berlangsung Jumaat ini di Glamhall, Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana di Petaling Jaya jam 7.45 malam.

Dalam sibuk membuat persiapan perkahwinan Zahirah kini juga turut teruja untuk mempromosikan filem lakonanya pertamanya berjudul Bulan Dan Pria Terhebat. Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu bakal ditayangkan pada 13 Mac depan.

Selain Zahirah, filem ini juga turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya, Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman, Bell Ngasri, Alif Hadi dan ramai lagi.