AC Mizal bakal bergelar pemilik stesen TV

Pengacara, pelakon, penyanyi dan usahawan, Datuk AC Mizal menjelaskan dia tidak lagi ada kaitan dengan stesen televisyen, Awesome TV.

Malah ketika ini AC memberitahu dia dan isterinya Datin Emylia Rosnaida dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah stesen televisyen milik mereka sendiri.

Menjelaskan mengapa dia tidak meneruskan kerjasama dengan pihak Awesome TV kata AC beberapa masalah timbul menyebabkan dia memilih untuk menarik diri.

“Sebagai pemilik lesen penyiaran, saya dan isteri berhak menentukan dengan siapa ingin bekerjasama. Kami tidak boleh menghalang Awesome TV meneruskan rancangan menubuhkan stesen itu.

“Sebelum ini, kami memilih tidak mendedahkan perkara ini sebagai menghormati keputusan Awesome TV yang masih ingin meneruskan hasrat mereka.

“Memandangkan ramai yang masih keliru mengenai status, jadi saya ingin memaklumkan tidak lagi menjadi rakan kongsi dalam Awesome TV. Fokus kami kepada stesen baharu yang dijangka memulakan operasi pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu pada majlis yang sama AC turut melancarkan dua produk baharu di bawah syarikatnya. Merupakan kerjasama antara dia, isteri , Dr. Aidil Azry Dato Mokhtar bersama isterinya Dr. Fadzlina Md Mohtar. Tambah AC pilihanya untuk mengeluarkan Lip Matte dan makanan tambahan Wonder Trim adalah disebabkan melihat kebaikkan yang dibawakan dua produk ini kepada pengguna.

“Istimewanya mengenai produk ini adalah formulanya datang dari doktor sendiri.

“Selain pilihan bahan yang selamat kami juga mementingkan keberkesanan kepada pengguna,”jelasnya.