Adira terus jadi pilihan penerbit drama

Tidak dinafikan penyanyi ini menjadi antara penyanyi wanita yang cukup bertuah. Sering menjadi pilihan penerbit drama namun bukanlah sebagai pelakon tetapi penyanyi untuk runut bunyi drama.

Malah ketika ini juga Adira Suhaimi turut dikenali sebagai ‘Ratu Soundtrack’,.

Menurut Adira, sejak pembabitannya dalam dunia nyanyian hampir sedekad yang lalu, lebih daripada 10 buah lagu runut bunyi pernah dinyanyikannya.
 
Biarpun diberi gelaran ‘Ratu Soundtrack’, namun ibu kepada tiga orang cahaya mata Anggrek, 3, Asan, 2 dan Anggun, 6 bulan itu tidak kisah malah menganggap kepercayaan diberikan itu sebagai rezeki.
 
Katanya lagi, ia memberi kelebihan padanya memandangkan lagu “Maaf” akan berkumandang di kaca televisyen setiap hari selama hampir lima minggu. Justeru, ia secara tidak langsung memberikannya promosi percuma seterusnya menjadikan kerjaya seninya terus kekal relevan.
 
“Saya tidak kisah dipanggil sebagai Ratu Soundtrack kerana menganggap peluang itu pun sebagai rezeki juga. Bukan mudah sebenarnya seseorang penyanyi untuk dipilih menyanyikan lagu runut bunyi yang akan dimainkan berulang kali di kaca televisyen.
 
“Jika hendak mempromosikan sendiri di kaca tv, mungkin ia akan menelan kos yang tinggi. Jadi saya menganggap peluang ini sebagai salah satu strategi promosi. Selain di corong radio, peminat juga boleh mendengarkan lagu saya hampir setiap hari di kaca tv.
 
“Saya juga menganggap diri saya sangat bertuah, malah saya bersyukur apabila lagu digunakan sebagai soundtrack drama. Secara tidak langsung ia akan mengembangkan lagu itu apatah lagi drama dan lagu memang saling memerlukan antara satu sama lain,” kata Adira.
 

Sementara itu menurut Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi bakal muncul dengan sebuah lagu runut bunyi terbaru berjudul “Maaf”.
 
Lagu “Maaf” ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dipilih sebagai lagu tema utama drama bersiri terbaru berjudul ‘Maaf Tak Indah’ yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3 mulai 12 Februari ini.
 
Drama lakonan Azlee Khairi, Azar Azmi, Ruhainies dan Fizo Omar yang diterbitkan oleh Zamriez Golden Pictures adalah adaptasi novel hasil karya Emy Roberto dan diarahkan oleh Zamri Zakaria.