Terokai Alam ‘Dinosaur’ Di Pameran Dinoland Di Karnival Jom Heboh, Stadium Shah Alam

    Setakat jam 2 petang ini, hampir 200 tiket dijual kepada pengunjung yang ingin merasai pengalaman berada di reruai Dinoland, di Karnival Jom Heboh, di Stadium Shah Alam.

    Dinoland yang berada di bawah reruai The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), menawarkan harga istimewa iaitu RM30 untuk sebuah keluarga terdiri daripada lima orang serta satu sesi ‘photobooth’, RM10 untuk dewasa dan RM20 untuk dua dewasa dan tiga kanak-kanak.

    Bagi setiap pembelian tiket, pengunjung juga akan menerima sebungkus beras (400 gram) tajaan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan sebotol air daripada Nestle (M) Berhad selain akhbar percuma.

    Menariknya dalam Dinoland ini, terdapat pelbagai jenis replika dinosaur yang bergerak sesuai untuk memberi pengalaman kepada pengunjung yang membawa keluarga.

    Sementara itu, pengunjung Noor Wahida Abd Razak, 42, berkata harga yang ditawarkan amat berbaloi memandangkan anak-anaknya memang minat haiwan berkenaan.

    “Saya berkunjung ke Karnival Jom Heboh ini kerana ingin merasai kembali kemeriahan seperti suatu ketika dahulu. Walaupun negara baru melepasi suasana pandemik, kemeriahannya tetap dirasai biarpun tidaklah semeriah seperti zaman sebelum ini,” katanya yang datang ke sini dari Kota Bharu, Kelantan atas urusan kerja.

    Bagaimanapun, beliau tetap memuji setiap reruai di sini yang mengadakan jualan murah seperti makanan, minyak wangi dan minuman kopi.

    Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda diadakan sempena sambutan ulang tahun TV3 ke-39 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.

    Sumber : Berita Harian