Amalboyz, Kumpulan Remaja Gali Kubur

    Amalboyz | Gambar : Harian Metro

    Pada usia 19 tahun, Muhammad Khairul Nizam Roslani, generasi ketiga penggali kubur dalam keluarganya, sudah menggali lebih 300 kubur selepas diberi kepercayaan melakukan kerja itu ketika berusia 14 tahun.

    Katanya, ketika ini, dia banyak menghabiskan masanya terutama waktu pagi di tanah perkuburan dengan pelbagai tugas.

    “Selain kerja mengorek dan menggali kubur, saya turut menjaga kebersihan kawasan perkuburan serta membaiki kubur yang rosak,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

    Malah, fardu kifayah dilakukan remaja berasal dari Kajang itu adalah kerja turun temurun diwarisi daripada arwah datuk dan bapa yang melakukan tugas itu secara sukarela.

    Muhammad Khairul Nizam kini melakukan kerja itu bersama kumpulannya, Amalboyz.

    Untuk rekod, Amalboyz disertai 16 lagi individu dan melakukan tugas sukarela menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang.

    Gambar : Harian Metro

    Menurutnya, dia mula ‘berkenalan’ dengan tanah perkuburan sejak berusia 10 tahun kerana selalu mengikut bapa, Roslani Rahmat, 60-an, menggali kubur.

    “Kerja hakiki ayah ialah sebagai pemandu jengkaut. Dia akan membantu menggali kubur jika ada masa terluang, malah sering membawa saya bersamanya.

    “Ayah juga kerap berpesan yang saya perlu tahu urusan pengebumian kerana ia penting,” katanya.

    Menurut Muhammad Khairul Nizam, selepas tamat sekolah, dia terbabit secara sepenuh masa sebelum menyertai Amalboyz.

    Dia turut mendapat sokongan keluarga terutama bapanya,.

    “Malah ayah dan dua bapa saudara saya juga menyertai kumpulan sukarelawan ini.

    “Datuk saya, arwah Rahmat Manan juga adalah penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Luar dan usaha murni itu diteruskan ayah dan dua bapa saudara, sebelum saya pula mewarisinya,” katanya.

    Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia tidak pernah berasa takut berada di tanah perkuburan dan mengakui kerja itu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT.

    Menurutnya, dia juga tidak terbeban atau berasa zaman remajanya tidak seperti remaja seusia kerana baginya, tiada yang berbeza cuma masanya hanya banyak dihabiskan di tanah perkuburan saja.

    “Saya tidak pernah berasa takut berada di kubur kerana suatu hari nanti, di sini juga ‘rumah abadi’ kita. Saya juga anggap kerja ini sebagai jalan untuk mengumpul pahala dan bekalan di akhirat.

    “Setakat ini, saya menumpukan perhatian di sini saja dulu. Namun, jika ada rezeki lain, saya akan meneruskan kerja sukarelawan ini ketika cuti,” katanya.

    Menurut Muhammad Khairul Nizam, tugas sebagai penggali kubur juga mempunyai cabaran tersendiri.

    Katanya, tempoh penularan Covid-19 pada tiga tahun lalu adalah masa paling mencabar buatnya apabila perlu berada di lapangan untuk mengorek kubur di saat ramai bimbangkan penularan virus terbabit.

    “Memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) ketika bertugas memang kurang selesa dan pastinya panas, tetapi demi tugas saya tidak kisah biarpun pernah terima 14 jenazah sehari.

    “Malah, ketika peluh belum kering, kami perlu uruskan kubur dan jenazah lain. Selepas selesai menerima jenazah, kami akan teruskan kerja mengorek dan menggali kubur untuk esok pula. Ketika itu, kami bekerja daripada pagi hingga malam.

    “Memang penat, tetapi itu pengalaman berharga untuk saya. Malah saya bersyukur dan bangga dengan peluang ini,” katanya.

    Sumber : Harian Metro