Majlis Ulama Indonesia keluarkan fatwa vaksin CanSino sebagai haram

MAJLIS Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa terhadap vaksin Convidecia Covid-19 yang dikeluarkan oleh pembekal dari China, CanSino Biologics adalah haram.

Vaksin Convidecia yang dihasilkan dikatakan menggunakan bahagian anggota tubuh manusia, lapor Kosmo.

“Vaksin Covid-19 keluaran Cansino adalah haram,” jelas fatwa yang dikeluarkan MUI kelmarin.

Pengerusi Suruhanjaya Fatwa MUI, Hasanuddin menjelaskan vaksin tersebut diharamkan kerana dalam penghasilannya menggunakan bahagian tubuh manusia.

“Dalam proses penghasilannya, ia menggunakan bahagian tubuh manusia (juz’minal insan) iaitu sel-sel yang diperoleh daripada buah pinggang embrio bayi manusia,” katanya.

Walaupun begitu, tiada sebarang unsur babi ditemukan dalam produk vaksin itu

Pengumuman itu dibuat melalui laman sesawang rasmi MUI pada Ahad.

MUI juga menetapkan vaksin Covid-19 Covovaxmirnaty dari India adalah haram. 

Ia kerana penemuan penggunaan unsur babi dalam proses pembuatannya.

Sumber: Kosmo