Warga emas ditahan kerana memproses air ketum

Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sandakan berjaya menahan seorang lelaki warga emas dipercayai sedang memasak dan memproses air ketum di rumahnya yang tidak bernombor di Sandakan  terbongkar apabila polis membuat serbuan kira-kira satu tengah hari Isnin lalu.

Ketua Polis Sandakan, ACP Azhar Mohd Hamin berkata lelaki tempatan berumur lingkungan 60-an itu ditahan kerana bersalah.

“Polis menjumpai 93 botol lutsinar bersaiz 1.5 liter berisi air ketum dianggarkan bernilai RM3,000 dan hampir 10 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM400. Turut dirampas peralatan memasak disyaki untuk menghasilkan air ketum dan selaras senapang angin buatan sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Sandakan, hari ini.

Kemudian, Mohd Azhar berkata lelaki itu direman selama empat hari sehingga 22 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Sementara itu , beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 43 tahun kerana memiliki selaras bakakuk, sejenis senapang buatan sendiri dengan tiga biji peluru senapang patah.

Katanya, lelaki tempatan itu, yang ditahan di sebuah rumah di Batu 12 pada 4 petang hari yang sama, didapati positif dadah jenis methamphetamine dan direman sehingga 22 Nov bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber laporan Bernama turut mengatakan bahawa seramai 35 lelaki dan 27 wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian membabitkan wang berjumlah RM13,682.

“Seramai 38 orang (36 lelaki dan dua wanita) pula ditangkap bagi pelbagai jenis perjudian lain seperti sabung ayam dan daun terup membabitkan wang tunai berjumlah RM40,572.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) dan 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.