Warga Bangladesh sakan buat pasport palsu!

POLIS telah menahan seramai tiga lelaki warga Bangladesh setelah didapati terlibat dengan sindiket pemalsuan dokumen pasport di Taman Ampang Utama pada Sabtu lalu sekitar jam 10.40 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua tangkapan melibatkan suspek berusia lingkungan 36 hingga 46 tahun.

“Kesemua tangkapan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah serta polis membuat beberapa rampasan barangan bagi tujuan sindiket.

“Mereka yang ditahan direman sehingga 24 April bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara barangan yang dirampas.

Antara barangan yang dirampas termasuk, 13 buah pasport warga Bangladesh, salinan laporan polis palsu, komputer riba, serta salinan transaksi wang.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 kerana memalsukan, mengubah tanpa kuasa yang sah yang boleh disabitkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Mohamad Farouk, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155)(Pindaan 2002) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.