Nak balik raya? KKM dah cadang tangguh rentas negeri

PASTI ramai yang mula terbayang-bayang kampung halaman termasuk ada yang membuat perancangan untuk pulang ke kampung sempena Syawal tahun ini.

Berita yang mungkin akan menyentap hati sang perantauan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar aktiviti rentas negeri ditangguhkan sempena perayaan Aidilfitri.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, langkah itu katanya dibuat berikutan situasi COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Banyak pihak merayu kerajaan untuk membenarkan rentas negeri untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“KKM mencadangkan rentas negeri ditangguhkan.

“Ia berikutan terdapat varian baharu dalam komuniti dan program imunisasi masih diteruskan,” katanya.

Mengulas mengenai individu yang telah menerima vaksin bagi kedua-dua dos untuk meneruskan perjalanan rentas negeri, pihaknya berkata setakat ini masih menunggu dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

“Kami masih menunggu lagi beberapa dapatan daripada WHO dan CDC untuk menjelaskan kepada kami sama ada perkara tersebut boleh dibenarkan untuk dikecualikan daripada aktiviti rentas negeri.

“Bagimanapun, bagi mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan, aktiviti merentas negeri dibenarkan kerana ia merupakan satu keperluan untuk mereka bertugas,” katanya lagi.