Wanita Vietnam ditahan tawar seks ketika PKP dengan kadar RM150

Foto: Sinar Harian

SEORANG wanita warga Vietnam ditahan polis kerana disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Plaza Mahkota, Banda Hilir pada Rabu.

Wanita berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.45 petang apabila menjadikan hotel bajet yang tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebagai pusat pelacuran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, tangkapan dilakukan menerusi Ops Pemantauan PKP 3.0 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di hotel terbabit.

“Pemeriksaan dalam sebuah bilik mendapati wanita itu menjalankan aktiviti pelacuran bersama seorang pelanggan warga tempatan.

“Kita turut menemui beberapa keping kondom, cecair pelincir dan sejumlah wang tunai dalam bilik tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, wanita terbabit dikesan menjalankan aktiviti pelacuran sejak seminggu lalu dengan menyewa bilik hotel berkenaan selama empat hari bermula Isnin lalu.

“Wanita itu juga dikatakan meletakkan harga sebanyak RM150 untuk sekali perkhidmatan,” jelasnya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 372B kerana menawarkan khidmat seks.

Sumber: Sinar Harian